Peristiwa Bersejarah Rejimen Renjer Diraja

Serang Hendap Oleh 6 Renjer di Klian Intan

Pada 27 Ogos 1970, 6 Renjer berjaya membunuh 5 orang pengganas komunis di kawasan Tanah Hitam, Intan Klian di negeri Perak. Antara yang dibunuh ialah seorang Ahli Jawatankausa Cawangan Parti Komunis Malaya. Beberapa senjata api juga dapat dirampas.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh Cawangan Khas, 60 orang pengganas komunis akan menyusup hutan Tanah Hitam untuk ke Gerik. Kompeni C dengan 3 pegawai dan 94 anggota lain telah ditugaskan untuk membuat serang hendap di laluan yang digunakan pengganas.

Kompeni C berpecah kepada 3 kumpulan, dengan Markas Kompeni dan 9 Platun menjadi pasukan penghalang utama. 7 Platun diletakkan di sebelah kanan dan 8 Platun diletakkan disebelah kiri pasukan rintangan utama. Pasukan diberikan 2 hari untuk menyedia kedudukan serang hendap dan memasang periuk api Claymore dan jerangkap samar lain-lain.

Pada 20 Ogos, 1 Seksyen yang dianggotai 8 anggota mendengar desiran dahan dan buluh patah dipijak manusia. 1 Seksyen bersiap sedia tetapi tidak melepaskan tembakan. Renjer Abu bin Mat melihat seorang pengganas komunis berada 35 meter daripada kedudukan mereka. Nyata sekali pengganas tersebut sedang meninjau laluan untuk kumpulan pengganas yang lebih besar. Renjer Abu dan Renjer Abu Samah Hashim yang menggunakan GPMG berserta Lans Koperal Abdullah bin Nawi tidak melepaskan tembakan dan terus menunggu. Tidak lama kemudian, lebih ramai pengganas muncul.

Pada jam 3.45 petang, Lans Koperal Abdullah meletupkan bom Claymore sementara anggota yang menggunakan MGKA melepaskan tembakan. Pada jam 4.20 petang, pengganas Komunis menghentikan tembakan dan cuba mendapatkan rakan mereka yang gugur dan cedera tetapi rancangan mereka dipatahkan. Percubaan ini diulangi pada malamnya, tetapi juga tidak berhasil. Mejar Ismail meminta bantuan artileri dan mengarahkan tembakan berhampiran dengan kedudukan 1 Seksyen. Pengganas Komunis berundur pada waktu pagi sebelum terang. Pencarian yang dilakukan pada waktu pagi hari berikut mengesahkan 5 pengganas komunis terkorban.

Mejar Ismail bin Salleh selaku Ketua Kompeni ā€œCā€ dan Leftenan Muda David Fu Chee Ming selaku Ketua 8 Platun telah diberikan kurnia Panglima Gagah Berani pada 2 Jun 1971 atas kejayaan yang dicapai.